Jul 31, 2013

Pengasas Arab Malaysian Bank dibunuh

  Anak lelaki pengasas Kumpulan Perbankan Arab Malaysian Hussain Ahmad Najadi terkejut dengan pembunuhan bapanya, semalam.


"Saya terkejut apabila mendengar mengenai kejadian bunuh itu, lebih-lebih lagi apabila ia dilakukan pada waktu siang di Kuala Lumpur," kata Pascal Najadi dalam satu temu bual menerusi telefon dari Eropah.

Sehubungan itu, Pascal, 45, pemegang kerakyatan dua negara iaitu Switzerland dan British, menggesa pihak berkuasa Malaysia mengambil tindakan sewajarnya bagi menahan individu yang terbabit dalam pembunuhan bapanya serta mengheret mereka ke muka pengadilan.

Pascal, yang turut menceburi bidang perbankan, berkata ironinya adalah Hussain Ahmad dibunuh di Malaysia, negara yang amat disayanginya dan dianggap sebagai tanah tumpah darah beliau selama lebih empat dekad.

Hussain Ahmad, 75, maut manakala isterinya yang berusia 49 tahun cedera parah ditembak dari jarak dekat di parkir kereta selepas keluar dari Tokong Kuan Yin di Lorong Ceylon pada 2 petang.



Mangsa terkena dua das tembakan di bahagian dada dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya cedera di pergelangan tangan kiri serta peha kanan.

Siasatan awal polis mendapati seorang lelaki bersenjata, antara tiga individu yang menunggu Hussain Ahmad di luar tokong berkenaan, yang dikatakan ke situ untuk bertemu rakannya bagi membincangkan urusan jual beli saham.

Pascal berkata, beliau mengetahui tragedi yang menimpa bapanya beberapa jam selepas kejadian selain menerima panggilan daripada polis Malaysia berhubung  pembunuhan itu.

Hussain Ahmad mengasaskan Kumpulan Perbankan Arab Malaysian pada 1975 sebelum ia bertukar tangan pada 1982 dan dikenali sebagai Arab Malaysian Bank atau Ambank. - Bernama, 30 Julai, 2013.

sumber http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/anak-terkejut-pengasas-arab-malaysian-bank-dibunuh-bernama

di kemaskini oleh gilerah.blogspot.com

Kami tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Post Paling Popular Minggu Ini

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...