Berbekalkan kesedaran ini, kita akan membincangkan cara-cara anda boleh melindungi diri daripada diperangkap kancah skim pelaburan tidak sah dalam dunia Internet yang semakin rumit. Di akhir artikel ini, anda akan dapat mengenal pasti cirri-ciri skim penipuan, langkah yang perlu diambil apabila ditawarkan skim sebegini dan bagaimana untuk mengelakkan diri daripada terjebak dengan skim pelaburan tidak sah.
Terlebih dahulu, mari kita lihat ciri-ciri am skim pelaburan internet yang tidak sah:
- Pemilik skim ini, yang mengaku diri sebagai “pakar pelaburan” akan mendakwa syarikat mereka mempunyai “rekod prestasi cemerlang” dan memberikan testimonial daripada “pelanggan” demi meyakinkan pelabur. Mereka juga akan menawarkan pulangan yang lebih tinggi berbanding kadar pasaran dan berjanji bahawa skim tersebut mempunyai risiko rendah atau tiada risiko langsung.
- Pemilik skim mempunyai identiti yang pada mulanya nampak seakan-akan benar, tetapi tidak dapat disahkan.
- Bila disoal, kebanyakan pengendali skim pelaburan tidak sah akan berkata bahawa skim mereka beroperasi di luar negara dan tidak memerlukan lesen daripada pengawal selia di Malaysia, atau mengaku mereka sudahpun mempunyai lesen yang sepatutnya daripada pihak berkuasa. Malah, ada pengendali skim yang berkeras bahawa aktiviti mereka tidak memerlukan lesen.
- Mereka akan menyarankan untuk membeli/menjual saham tertentu dan khidmat nasihat mereka dihantar kepada pelanggan melalui e-mel atau khidmat pesanan ringkas (SMS), laman web yang dilindungi kata laluan rahsia serta pertemuan peribadi.
- Pengendali skim ini juga akan mengiklankan perkhidmatan mereka melalui e-mel secara rawakserta pesanan-pesanan yang ditinggalkan di papan kenyataan dan forum atas talian.
- Laman web mereka direka khas untuk menyerupai perniagaan sah dan mungkin dilengkapi dengan harga saham masa nyata (real-time), ulasan pasaran, berita serta pautan ke laman web kewangan yang lain.
- Sesetengah laman-laman web ini memberi perkhidmatan percuma seperti tutorial asas pasaran modal, e-buku serta laluan ke bilik bual (chatroom) dan papan buletin.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------
------------------------------------------------------------------------------------------------------------
- Mangsa biasanya terpedaya apabila pengendali skim memberikan pulangan yang tinggi pada mulanya dan ini digunakan sebagai taktik untuk menjerat dan merekrut pelabur baru.
- Jangka hayat skim pelaburan ini bergantung kepada pengambilan pelabur baru. Dana yang diperolehi daripada pelabur baru akan digunakan untuk membayar dividen kepada pelabur sedia ada. Skim pelaburan ini akan gagal sekiranya tiada pelabur baru.
- Akan tetapi, pengendali skim pelaburan tidak sah ini akhirnya akan melarikan diri dengan wang yang dikumpul apabila dia berasa suatu yang tidak kena akan terjadi, dan sekaligus menyebabkan pelabur mengalami kerugian.
Berhati-hati jika diberikan tawaran pelaburan dalam talian yang mempunyai ciri-ciri seperti di atas! Pastikan anda merujuk kepada pihak berkuasa yang sepatutnya dahulu sebelum menyerahkan wang titik peluh anda.
APA YANG PERLU ANDA LAKUKAN:
Sebenarnya tidak sukar untuk melindungi diri apabila ditawarkan peluang melabur dalam skim pelaburan Internet! Ingat:
- Jika ia sangat sukar dipercayai, kemungkinan besar ia adalah penipuan;
- Berurusan hanya dengan institusi kewangan dan ejen yang berdaftar dan berlesen (rujuk laman web Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara Malaysia untuk senarai lengkap).
- Minta maklumat penting – Tanya soalan berikut: jika anda mengirim emel kepada syarikat itu, adakah ia akan dijawab? Adakah alamat syarikat disenaraikan di laman web dan bahan-bahan promosi?Adakah syarikat pelaburan itu menggunakan nombor akaun bank yang jarang ditemui/sukar dikesan/Adakah syarikat tersebut benar-benar wujud;
- Awas perangkap testimonial – Kebiasaannya, testimonial akan bermain dengan emosi dan rasa tamak; menggunakan cara yang sama iaitu pelanggan “A” sangat gembira dengan pelaburannya dan mahukan anda melabur secepat mungkin, melabur dengan syarikat mereka akan mengubah hidup anda, rakan dan keluarga mereka juga mengaut keuntungan daripada pelaburan tersebut, dll;
- Rujuk kepada pihak berkuasa yang sepatutnya sebelum melabur/membayar wang pendahuluan. Antara pihak berkuasa tempatan yang boleh membantu anda ialah SC, BNM, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, CyberSecurity Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan lain-lain;
- Jangan melabur dalam keadaan tertekan atau tergesa-gesa; ambil masa anda untuk berfikir dan bertanya dengan pihak berkuasa yang berkaitan terlebih dahulu. Menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tiada gunanya.
- Sentiasa was-was jika tawaran pelaburan hanya dibeirkan secara lisan dan bukan dalam bentuk bertulis. Minta untuk melihat sebanyak mungkin dokumen mengenai produk pelaburan itu supaya anda boleh menentukan kesasihan tawaran pelaburan itu; dan
- Sekiranya anda telah melabur dalam skim itu, simpan kesemua rekod pelaburan dan perhubungan yang ada. Ia mungkin boleh digunakan di kemudian hari bagi tujuan laporan kepada pihak berkuasa.
PERLINDUNGAN TAMBAHAN
Memandangkan dunia Internet merupakan rangkaian global yang amat besar, sudah pasti pengendali skim pelaburan tidak sah juga mempunyai pengkalan di luar negara. Berbekalkan teknologi yang lebih maju, mereka juga pasti menggunakan kaedah penipuan yang lebih maju dan canggih. Oleh itu, kami juga menyarankan agar anda merujuk kepada pihak berkuasa di luar negara dengan melayari laman web seperti www.hksfc.org.hk (Hong Kong), www.fsa.com (UK), www.asic.gov.au (Australia), www.mas.gov.sg (Singapura), www.sec.gov (US) dan lain-lain untuk mengetahui skim –skim pelaburan tidak sah yang terbaru serta cara-cara melindungi diri anda.
KESIMPULAN
Dalam membanteras skim pelaburan tidak sah, ilmu, maklumat dan pertimbangan akal adalah “perisai” terkuat untuk melindungi diri. Kadangkala, agak sukar membezakan antara pelaburan yang sah dan tidak sah di Internet. Tapi dengan mengamalkan langkah-langkah yang disebut di atas, kemungkinan besar anda boleh mengenal pasti pelaburan yang sah dan dan tidak sah. Sebelum membuat apa-apa tindakan, pastikan syarikat itu mempunyai lesen dan berdaftar dengan pihak berkuasa yang berkaitan.
No comments:
Post a Comment