Jan 28, 2012

Adakah Al-Quran Berbohong Tentang Kiamat



Kristian : Jika benar Al-Quran tidak mempunyai percanggahan dan kesemua faktanya adalah benar dan tepat, saya akan buktikan kepada anda bahawa Al-Quran dan Muhammad telah berbohong kepada seluruh manusia sejak ia diturunkan!

Muslim : Sila buktikan tuduhan anda tersebut!

Kristian : Perhatikan ayat 1 dari surah Al-Qamar ini : “Telah dekat datangnya saat itu dan telah terbelah bulan.”



Bukankah AL-Quran melalui lidah Muhammad menyatakan bahawa kedatangan hari kiamat itu amat hampir dan pasti berlaku. Tetapi malangnya, selepas 1400 tahun Muhammad meninggal dunia, kiamat masih juga belum berlaku! Inilah buktinya Al-Quran dan Muhammad berbohong!

Muslim : Saudara, perlu anda ketahui bahawa Al-Quran dan Nabi Muhammad saw menerangkan kedatangan kiamat ini secara gambaran Akhirat dan bukannya mengikut perkiraan hari dunia. Buktinya, cuba anda perhatikan di dalam Surah Al Hajj ayat 47 yang menyatakan : “Dan mereka meminta kepadamu agar azab itu disegerakan, padahal Allah sekali-kali tidak akan menyalahi janji-Nya. Sesungguhnya sehari di sisi Tuhamu adalah seperti seribu tahun menurut perkiraanmu”.

Bukankah jelas kepada kita, ayat ini menerangkan bahawa kadar sehari di akhirat adalah bersamaan seribu tahun di dunia. Jika anda mengatakan Nabi Muhammad saw berbohong kerana kiamat masih belum berlaku walaupun 1400 tahun telah berlalu, anda telah membuat kesilapan besar!

Tahukah anda, 1400 tahun setelah kewafatan Baginda adalah bersamaan sehari setengah sahaja di akhirat! Maka benar dan tepatlah firman Allah swt yang menyatakan bahawa kiamat sudah hampir!

Kristian : Tetapi mengapa ayat 4 surah Al-Maarij menyatakan : “Malaikat-malaikat dan Jibril naik (menghadap) kepada Tuhan dalam sehari yang kadarnya lima puluh ribu tahun”.

Bukankah di dalam ayat ini jelas dinyatakan bahawa kadar sehari di akhirat adalah bersamaan lima puluh ribu tahun dunia. Manakala dalam ayat yang anda nyatakan tadi pula sehari di akhirat hanya bersamaan dengan seribu tahun di dunia! Ini pencanggahan fakta yang nyata!

Muslim : Saudara, ayat 47 Surah Al Hajj adalah berkaitan kadar jumlah perkiraan hari antara dunia dan akhirat iaitu sehari di akhirat adalah bersamaan 1000 tahun di dunia. Manakala ayat 4 Surah Al Maarij ini pula menerangkan bahawa apabila Malaikat-Malaikat naik menghadap Allah, masa yang akan diambil oleh mereka adalah bersamaan sehari sahaja. Tetapi, sekiranya ia dilakukan oleh manusia (menghadap Allah) akan mengambil masa selama 50,000 tahun! Ayat ini menyatakan tentang perbezaan masa yang akan diambil oleh para Malaikat dan manusia apabila menghadap Allah. Mengapa anda tidak cuba memahami tafsiran terhadap kedua-dua ayat ini?

Sekarang jelaslah bahawa Al-Quran dan Nabi Muhammad saw tidak pernah berbohong tetapi sebenarnya anda yang sengaja tidak cuba untuk memahaminya. Bacalah Al-Quran dengan niat yang jujur dalam mencari kebenaran beragama.


Rujukan : Ustaz Rashidy Jamil Muhammad Ar Rashid, Kitab Mereka Bertanya Tentang ISLAM Anda Menjawab, m/s 17-19.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Post Paling Popular Minggu Ini

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...