Dec 19, 2011

PASARAN PERUMAHAN NEGARA (MALAYSIA) DALAM SITUASI KETIDAKTENTUAN

rumahcantik





PASARAN perumahan negara masih berada dalam situasi ketidaktentuan. Sejak tercetusnya krisis kewangan Asia pada 1997, pasaran perumahan masih belum stabil akibat tekanan dari faktor dalaman dan luaran.

Selepas sembilan tahun krisis kewangan melanda Asia, belum sempat ekonomi negara bernafas lega, krisis gadai janji sub prima Amerika Syarikat (AS) pula berlaku pada tahun 2006 dan terus menular menjadi krisis kewangan global pada Julai 2007.



Kronologi tercetusnya krisis sub prima sewajarnya memberi iktibar kepada kita betapa sensitif dan risikonya sektor perumahan dalam ekonomi negara yang mengamalkan pendekatan ekonomi pasaran. Keterbukaan sistem ekonomi pasaran secara global bererti faktor luar kini mampu menggugat ekonomi negara dan sektor hartanah. Ini yang masih berlaku di dunia hari ini.

Kenaikan harga minyak dunia kini kembali kepada trend seperti bermulanya krisis sub prima dahulu, berpunca dari krisis politik di Timur Tengah dan utara Afrika yang kembali memberi tekanan kepada pasaran minyak dunia. Ditambah pula dengan malapetaka yang menimpa Jepun, nasib ekonomi dunia dan Malaysia khususnya sebagai negara yang bergantung kepada sektor perdagangan antarabangsa berada di persimpangan.

Apa yang boleh dikatakan sektor perumahan kini berada dalam keadaan tidak menentu dan pasaran hartanah pula menekan permintaan atas alasan tekanan inflasi kos berpanjangan. Dengan trend harga rumah yang meningkat terutama di Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang sejak berlakunya krisis kewangan global 2007 sehingga kini ditambah pula dengan dua krisis terbaharu, maka kesannya sudah dijangka ke atas harga rumah pada masa akan datang.

Mereka yang berada dalam industri perumahan dan pembinaan membuat ramalan dan kenyataan berbaur spekulatif mengenai kenaikan ketara dalam harga rumah kesan daripada kenaikan harga minyak dan bahan binaan. Mereka memainkan sentimen pasaran bagi memelihara kepentingan sendiri, seolah-olah walaupun kos pembinaan bakal meningkat akibat kenaikan harga minyak dunia dan bahan binaan, kenaikan harga rumah memang tidak dapat dielak dan akan berlaku secara relatif mengikut hukum pasaran.

Ini bererti pelarasan harga akan berlaku tetapi tidak akan menjejaskan kepentingan mereka dari segi keuntungan pembangunan.

Masalah Pemaju

Bagi pemaju perumahan, senario yang berlaku dalam pasaran walaupun lebih didorong oleh tekanan inflasi, faktor kebolehjualan hartanah yang ditawarkan dalam kategori sederhana-tinggi masih terjual memberi rangsangan untuk terus berada dalam pasaran.

Hakikatnya mereka tersalah tafsir tentang faktor yang menyokong permintaan ke atas perumahan selama ini, sebenarnya tidak berlandaskan hukum ekonomi fundamental tetapi lebih kepada faktor artifisial.

Permintaan ke atas perumahan harus didokong oleh pendapatan benar yang menentukan keupayaan membeli. Sebaliknya, permintaan semasa dipacu oleh skim pembiayaan pinjaman yang begitu mudah ditawarkan oleh institusi perbankan seperti kadar pinjaman yang rendah, tempoh pembayaran yang panjang dan peratus pinjaman sehingga 90 peratus harga rumah.
------------------------
 ------------------------
Selagi pakej pinjaman menarik masih kekal ditawarkan, selagi itulah pasaran perumahan masih mampu aktif walaupun berada di bawah tekanan inflasi kos yang meningkat. Pihak pemaju juga sebenarnya masih mudah mendapat pinjaman titian dari bank, selain dari melihat pasaran yang aktif, jumlah pinjaman adalah dalam peratus yang masih rendah dari kos pembangunan antara 30 peratus hingga 40 peratus.

Manakala 60 peratus hingga 70 peratus akan dibiaya oleh pembeli melalui pembayaran berkala mengikut progres pembinaan dalam sistem penyampaian beli kemudian bina yang selama ini lebih memihak kepada menjaga kepentingan pemaju. Bagi pihak bank, mereka juga yakin risiko yang ditanggung adalah rendah kerana dengan sistem penyampaian pasaran perumahan jual kemudian bina, kepentingan bank terjamin dalam dua lapisan jaminan, iaitu jaminan dari pihak pemaju dan juga pihak pembeli.





Tulisan : SHAHROM MD. ARIFFIN, Pensyarah Kanan Hartanah Ekonomi, Fakulti Seni Bina, Perancangan dan Ukur, UiTM
Sumber: Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment

Ape yang kamu nak komen ni? Giler ahh!! nanti aku reply ye..